Wikipedia

Search results

Wednesday, April 22, 2015

Apa itu Triangulation Wi-Fi ?



Sudah pasti anda sedia maklum dengan penggunaan Global Positioning System (GPS) yang digembar-gemburkan mampu menyelesaikan masalah berkaitan penjejakan lokasi. Ia mungkin ada benarnya. Tetapi,  kadang-kala ketepatannya lokasinya turut sedikit diragui dengan masalah-masalah kecil yang timbul. Secara tidak langsung, penggunaannya secara tunggal hampir menjadikannya semakin kurang relevan pada era kini.

Istilah tilik nasib adalah sesuatu yang mustahil. Tetapi, bagaimana pula dengan ‘tilik lokasi’? Sudah tentulah anda mampu, tetapi mesti dengan bantuan perangkaan sistem teknologi hari ini. Realitinya, potensi teknologi penjejakan carian lokasi ini semakin berkembang setelah mulai menjadi permintaan utama golongan pengguna peranti mudah alih sejagat. 

Teknologi triangulation wi-fi.

Tepat tidak kira di luar atau pun dalam bangunan, teknologi ini mempunyai kelebihan di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi. Hal ini kerana ia akan berfungsi dengan ketepatan koordinat yang lebih jitu apabila satu atau lebih wi-fi boleh didapati di kawasan anda. 

Jika lokasi wi-fi terkini anda disimpan dalam pangkalan data gergasi pengeluar peranti anda seperti Apple Inc, anda memang bernasib baik. Secara automatik peranti anda akan menghubungi pembekal khidmat. Setelah menganalisis butiran wi-fi dalam beberapa saat, koordinat akan dihantar kepada anda secara percuma. Hasil akhirnya amat memuaskan dengan koordinat yang sangat tepat.

Adaptasi pembangunan

Teknologi triangulation wi-fi ini mengambil kesempatan adaptasi atas platform perkembangan beratus-ratus juta titik akses Wi-Fi kawasan berpenduduk di seluruh dunia. Fungsinya lebih kepada menghidu rangkaian wi-fi yang berada dalam lingkungan jarak pengguna peranti.

Setelah itu, sistem ini akan mengukur kekuatan isyarat dan membandingkan keputusannya dengan pangkalan data utama. Peranti anda sebenarnya tidak menyambung atau menggunakan mana-mana hotspot wi-fi ini tetapi hanya mengimbas dan mengukur faktor-faktor yang berkaitan yang digunakan untuk pencarian pangkalan data.

Bukan baru

Sebenarnya, teknologi ini bukan lagi baru dalam teknologi sistem pembangunan koordinasi pemetaan dunia. Cuma baru-baru ini percambahannya telah sedikit mendadak dengan pembangunan aplikasi pencarian lokasi serta pertambahan telefon pintar yang menggunakan teknologi ini.

Sudah tentu ada yang tidak sedar. Apple dengan pembangunan perantinya seperti iPhone dan iPod Touch sudah lama menggunakan teknologi ini sebagai asas. Begitu dengan Dell, Samsung, Lenovo, Sony dan sebilangan besar lagi jenama yang menjadikannya sebagai aplikasi pemantapan peranti dari segi keselamatan dan penggunaan tambahan sistem kedudukan lokasi.

Melihatkan aspek ini, sudah pasti teknologi ini akan terus berkembang menjadi sesuatu yang wajib dalam peranti yang dimiliki pengguna. Kolaborasinya dengan sistem pencarian kedudukan lain seperti GPS, A-GPS, menara triangulasi selular, GSM dan lain-lain saling melengkapi seterusnya menghasilkan teknologi tanpa wayar canggih dengan ketepatan boleh mencecah 100%. 

Skyhook Wireless

Skyhook Wireless adalah antara salah sebuah syarikat terkenal yang membangunkan teknologi bagi menentukan lokasi geografi menggunakan Wi-Fi sebagai sistem rujukan asas. Sistem Penentu Kedudukan WPS Skyhook Wi-Fi tersedia dengan pusat akses wayarles dan algoritma proprietari berkesan menentukan kedudukan peranti mudah alih dalam jangkauan 10 hingga 20 meter.

Selain dari itu, ia menyediakan perkhidmatan yang sama seperti GPS tanpa memerlukan aksesori tambahan dan benaman perkakasan GPS pada peranti. Kebolehannya sistem ini juga turut diperakui dengan mampu mengintegrasikan peranti GPS sebagai platform penyediaan kedudukan hibrid.

Bagi memastikan ketepatan lokasi dapat memuaskan hati pelanggannya, pangkalan data Skyhook dikumpul melalui proses wardriving, yang merangkumi lebih daripada 250 juta titik akses wi-fi yang meliputi 70 peratus dari pusat-pusat penduduk di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah Barat dan negara-negara Asia yang terpilih.

Profilnya turut bukan calang-calang kerana syarikat ini juga merupakan pemberi perkhidmatan kepada pengeluar peranti gergasi dunia untuk kemas kini produk-produk baru mereka. Ia termasuklah Apple Inc, Symantec, Samsung, Intel, Sony dan lain-lain

No comments:

Post a Comment