Kesemua pengguna yang ingin memiliki peranti (komputer riba, desktop, netbook dan sebaginya) bagi memenuhi keperluan pengkomputeran mereka perlu membuat pilihan tepat sama ada memilih Hard Disk Drive (HDD) atau Solid State Drive (SSD) sebagai komponen storan.
Kedua–duanya bertindak sebagai storan dalaman untuk sesebuah peranti, ia memiliki kebaikan dan keburukan yang tersendiri dengan teknologi yang diimplementasikan kepadanya. Tetapi, ia masih tetap tertakluk kepada keperluan pengkomputeran pengguna itu sendiri.
Hard Disk Drive (HDD)
HDD ialah komponen penyimpanan data konvensional yang digunakan untuk menyimpan dan mendapatkan semula maklumat digital yang berfungsi secara putaran pantas cakera (platters) pada lapisan magnetik.
Bekerja dengan mengekalkan data meskipun komputer ditutup, data pada HDD akan dapat dibaca dengan akses rawak yang mana data individu boleh disimpan atau dibuka dengan arahan, bukan secara berturut-turut.
Kepantasan HDD bekerja bergantung pada kelajuan putaran cakeranya. Tipikal pemacu komputer riba boleh berputar pada kelajuan 5400RPM (Revolusi per Minit) atau 7200RPM. Sesetengah cakera yang berasaskan pelayan pula mampu berputar mencecah 15,000RPM.
Kedua-dua faktor bentuk biasa bagi HDD moden ialah 3.5 inci bagi desktop dan 2.5 inci bagi komputer riba. HDD disambungkan kepada sistem antara kabel antara muka standard seperti SATA (Serial ATA), USB atau kabel SAS (Serial attached SCSI).
Pro dan kontra
1. Teknologi untuk HDD telah mencapai tempoh matang, yang mana ia lebih murah berbanding dengan pilihan storan yang lain.
2. HDD juga boleh didapatkan dalam kapasiti yang agak tinggi juga sehingga mencecah 4TB data.
3. Biasanya HDD disambungkan kepada sistem melalui antara muka SATA (Serial ATA) secara menyeluruh, jadi storan ini tidak memerlukan apa-apa perisian khas untuk bekerja dengan efisien dengan sistem operasi semasa.
4. Secara teknikalnya, HDD tidak berprestasi seperti SSD atau SSHD dalam beberapa keadaan. Kini, HDD boleh membaca dan menulis data lebih daripada 200MB per saat dengan masa akses sub-8ms, lebih perlahan berbanding SSD biasa. Teorinya pula mudah, lebih cepat putaranplatter, lebih pantas prestasi HDD tersebut.
Solid State Drive (SSD)
SSD yang juga dikenali sebagai solid-state disk atau cakera elektronik tidak memiliki cakera dalam apa jua bentuk atau pun motor sebagai pemacu. Ia bertindak sebagai alat penyimpanan data dengan menggunakan pemasangan litar bersepadu sebagai memori untuk penyimpanan data berterusan.
Teknologi SSD ini menggunakan keserasian antara muka elektronik dengan blok input/output tradisional daripada HDD. Perbezaan ketara daripada HDD ialah melalui pergerakannya yang tidak berlandaskan komponen mekanikal.
Berbanding dengan cakera elekro-mekanikal, SSD lebih tahan kejutan fizikal, bekerja dengan lebih senyap, masa akses lebih singkat dan kurang kependaman. Banyak SSD menggunakan antara muka I/O yang sama dengan HDD, sekali gus membolehkan penggantian mudah dalam aplikasi yang sama.
Pro dan kontra
1. Reka bentuk yang non-mekanikal pada SSD menjadikan lebih tahan kejutan sehingga 1500g/0.5ms. Dengan tiada bahagian yang bergerak, SSD lebih senyap dan tidak mengganggu pengalaman pengkomputeran anda.
2. SSD memiliki prestasi 100 kali lebih baik berbanding HDD meliputi akses data serta-merta serta pemindahan fail yang pantas.
3. Kurang menggunakan kuasa terutamanya apabila melibatkan penggunaan optimum dengan kurang daripada 2W. Kebolehan tersebut menjadikan persekitaran pengkomputeran lebih sejuk serta pengeluaran haba kurang ketara.
4. Setara dengan kebolehannya, SSD boleh didapatkan pada kadar harga yang agak mahal ketika ini. Tetapi, ia masih menawarkan penjimatan kos jangka masa panjang apabila melibatkan penggunaan tenaga yang rendah dan produktiviti yang lebih tinggi.
Manakah Lebih Baik?
HDD memiliki kesesuaian bagi pengguna yang memerlukan storan penyimpanan dalam kapasiti yang besar tetapi tidak terlalu mengambil berat berkaitan prestasi sistem terutamanya ketika saat-saat genting.
Selain itu, kelajuan pemindahan data besar akan menjadi masalah jika urusan tersebut dilakukan secara sekali gus. Jika anda pengguna yang hanya menggunakan komputer hanya untuk melayari web, membaca e-mel, bekerja dengan dokumen asas, dan sebagainya HDD sesuai untuk anda.
SSD pula sesuai untuk pengguna PC yang sentiasa mencari prestasi pengkomputeran yang tinggi. Tetapi, anda perlu bersedia dengan sejumlah wang untuk dibelanjakan untuk mendapatkan SSD dan hard drive berkapasiti tinggi.
SSD boleh bekerja dengan baik di samping sistem operasi (OS) dan aplikasi yang kerap digunakan manakala hard drive boleh mengendalikan tugasan penyimpanan data-data besar. Jika kena pada caranya, gabungan ini akan memberikan pendekatan yang berprestasi tinggi dengan minimum kompromi.
EKSTRA : Solid State Hybrid Drive (SSHD)
Menggunakan teknologi yang hampir serupa, SSHD menggabungkan ciri-ciri yang ada pada SSD dan HDD dalam unit yang sama. Penyelesaian ini menggabungkan NAND Flash, memori SSD dalam kerangka HDD.
Dalam satu peranti bersepadu, kombinasi ini mampu untuk meningkatkan lagi prestasi data yang kerap diakses oleh pengguna. Teknologi ini juga menyediakan kepada pengguna prestasi yang lebih seimbang dengan ketersediaan untuk penyimpanan berkapasiti tinggi yang selaras dengan prestasi semasa peranti
No comments:
Post a Comment